19.12.2025

11 Penduduk Penan Pertimbangkan Rayuan ke Mahkamah Rayuan Malaysia

(Miri, Sarawak — 18 Disember 2025) Sebelas penduduk Penan yang mewakili komuniti di Ulu Baram sedang mempertimbangkan untuk merayu kepada Mahkamah Rayuan Malaysia selepas Mahkamah Tinggi Miri menolak cabaran mereka terhadap lesen pembalakan yang dikeluarkan oleh Pengarah Hutan Sarawak dan diluluskan oleh Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar.

**versi terjemahan**

Pengarah Organisasi Keruan, Komeok Joe, berkata rayuan itu bertujuan melindungi hak tanah adat masyarakat Penan, memelihara hutan, sungai, dan sumber hidup mereka, serta memastikan generasi akan datang dapat terus hidup secara lestari di tanah nenek moyang mereka.

"Tindakan undang-undang yang diambil oleh wakil komuniti Penan tidak bertujuan untuk menghalang pembangunan. Sebaliknya, ia adalah usaha untuk mempertahankan tanah nenek moyang daripada kemusnahan yang memberi kesan langsung kepada hutan, sungai, sumber sara hidup, dan keselamatan makanan komuniti setempat," jelasnya.

Pendirian ini turut disuarakan oleh Ipa Ulai, seorang penduduk Ulu Baram dan salah seorang pemohon dalam semakan kehakiman. "Selama bergenerasi-generasi, kami orang Penan bergantung sepenuhnya kepada kawasan hutan ini untuk kelangsungan hidup kami.

"Aktiviti pembalakan yang diluluskan telah mengakibatkan kemerosotan alam sekitar, pencemaran sungai, dan kehilangan kawasan pemburuan serta pertanian tradisional, kesemuanya memberi kesan langsung kepada kehidupan kami," katanya.

Balasannya terhadap dakwaan bahawa komuniti Penan dipengaruhi atau dimanipulasi oleh pihak luar atau organisasi bukan kerajaan, Komeok berkata perjuangan ini berakar umbi daripada kesedaran dan pengalaman sebenar komuniti itu sendiri."Mengaitkan dakwaan ini dengan agenda luar adalah cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar — kegagalan mengiktiraf dan melindungi hak tanah adat pribumi.

"Rayuan ini dimulakan sepenuhnya oleh komuniti Penan sendiri, berdasarkan pengalaman mereka sendiri dan keperluan mereka untuk mempertahankan hak tanah adat mereka serta memastikan generasi akan datang dapat terus hidup di tanah nenek moyang mereka," tambahnya.

Komeok turut menekankan bahawa dakwaan yang mencadangkan sokongan sebulat suara terhadap pembalakan dalam kalangan komuniti setempat tidak boleh digeneralisasikan. Kehadiran beberapa individu yang memegang sepanduk tidak mewakili suara kolektif komuniti Penan di Ulu Baram, yang terus mempertahankan wilayah nenek moyang mereka daripada eksploitasi berterusan.

Sementara itu, Pengarah Urusan SAVE Rivers, Celine Lim, berkata pembangunan di Ulu Baram tidak perlu bergantung kepada pemberian lesen pembalakan kepada syarikat swasta, terutamanya apabila kerajaan sudah mempunyai agensi dan pelan pembangunan berstruktur sedia ada.

Beliau menyatakan bahawa terdapat alternatif pembangunan yang lebih mampan dan saksama untuk komuniti setempat tanpa mengorbankan hutan atau punca pendapatan orang Penan.

"Ulu Baram boleh dibangunkan tanpa mengeluarkan lesen pembalakan kepada Borneoland Timber Resources Sdn Bhd atau mana-mana syarikat swasta lain

"Agensi pembangunan seperti Highland Development Agency (HDA) telah ditubuhkan oleh Kerajaan Sarawak, dan kerajaan juga telah mengumumkan bahawa ia akan mengambil alih pembaikan dan peningkatan jalan balak, dengan komitmen bajet. Oleh itu, Komuniti Ulu Baram tidak perlu bergantung kepada syarikat balak untuk membina atau membaiki jalan," katanya.

- kenyataan akhbar oleh Keruan dan SAVE Rivers