09.09.2025
Ketua Menteri Sarawak dicabar oleh aktivis hutan di Paris
Bruno Manser Fonds melancarkan kempen "Selamatkan hutan Baram" di ibu pejabat UNESCO.
**versi terjemahan**
(Paris) Aktivis hutan memberitahu Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari, semasa lawatannya ke Eropah bahawa langkah pertamanya ke arah perlindungan iklim seharusnya adalah pemuliharaan hutan tua di Sarawak.
Satu delegasi daripada agensi pemuliharaan alam semula jadi yang berpangkalan di Switzerland, Bruno Manser Fonds (BMF), menantikan Ketua Menteri pagi ini di pintu gerbang ibu pejabat UNESCO di Paris dengan sepanduk bertulis "Selamatkan Hutan Baram"."Ketua Menteri itu tidak boleh dipercayai jika beliau mempromosikan tenaga hijau di peringkat antarabangsa dan pada masa yang sama membenarkan pemusnahan hutan hujan primer terakhir Sarawak," kata pengarah eksekutif BMF, Lukas Straumann.
"Kami menggesa Ketua Menteri untuk menghentikan pemusnahan hutan Baram yang sedang berlaku oleh industri perkayuan. Sarawak mempunyai tanggungjawab antarabangsa terhadap titik panas biodiversiti ini yang memainkan peranan penting sebagai stok karbon global."Ketua Menteri Sarawak telah menimbulkan kemarahan para pemelihara alam selepas kerajaannya memberi lesen balak seluas 170,000 hektar di Baram kepada seorang taikun balak yang mempunyai hubungan politik dari Miri, Sarawak.
Kerajaan memberi lesen balak itu, yang bernilai jutaan dolar, tanpa tender terbuka dan penilaian impak sosial serta alam sekitar yang diperlukan.Komuniti tempatan baru-baru ini mencabar lesen itu dengan tuntutan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak. Keputusan mahkamah dijangka menjelang akhir Oktober.
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari kini sedang mengadakan lawatan ke Eropah dalam usaha mempromosikan negeri Malaysia itu sebagai hab tenaga hijau untuk Asia Tenggara.