24.03.2026
Janji Dikhianati, Hutan Terancam: Penduduk Sawa Ali Tuntut Tindakan Segera Hentikan Pembalakan
MIRI, 24 MAC 2026: Penduduk Sawa Ali menggesa tindakan segera diambil bagi menghentikan aktiviti pembalakan oleh Borneoland Timber Resources (BTR) di Blok 24 yang merupakan hutan simpan komuniti serta sumber utama kehidupan mereka.
**versi terjemahan**
Pengerusi Kampung Sawa Ali, Ipa Ulai berkata aktiviti pembalakan yang dijalankan di kawasan tersebut bukan sahaja melanggar hak komuniti, malah menjejaskan kawasan berkenaan yang telah lama menjadi hutan simpan penduduk.
“Blok 24 bukan sekadar hutan, tetapi sumber kehidupan kami sejak turun-temurun. Apabila kawasan ini diganggu, seluruh kehidupan kami turut terjejas.
“Jika hak kami tidak dihormati, seluruh komuniti akan menghadapi kesan langsung terhadap bekalan air, makanan dan kehidupan harian kami,” katanya.
Menurutnya, kawasan Blok 24 telah sekian lama dipelihara oleh komuniti sebagai kawasan penting yang membekalkan sumber air, makanan, ubat-ubatan tradisional serta bahan binaan.
“Namun, sejak hujung 2025, pihak syarikat telah memasuki kawasan tersebut dan menjadikannya laluan operasi, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan penduduk.
“Situasi ini membawa kepada mesyuarat pada 11 Januari 2026 yang melibatkan wakil syarikat, Jabatan Hutan Sarawak, pemimpin tempatan serta wakil komuniti Sawa Ali dan Muboi bagi membincangkan pencerobohan di Blok 24,” tambahnya lagi.
Dalam mesyuarat tersebut, pihak syarikat melalui Pengurus Kem bersetuju untuk memperluaskan kawasan milik Sawa Ali meliputi Blok 25 hingga 26 serta membenarkan komuniti menjalankan survei sebagai persiapan penyerahan kawasan.
Pihak syarikat juga berjanji untuk menyediakan peta sempadan selepas survei selesai bagi memastikan hak komuniti dihormati.
Namun, pada masa sama, syarikat mendakwa telah memperoleh kelulusan daripada Jabatan Hutan untuk beroperasi di Blok 24, yang jelas bercanggah dengan hak komuniti.
Sehingga kini, janji BTR untuk menyerahkan peta sempadan masih belum ditunaikan, malah mereka terus mengambil kayu di Blok 24 dan pampasan yang dijanjikan juga belum diberikan.
“Kami dimaklumkan akan menerima pampasan dan peta sempadan, tetapi sehingga hari ini tiada apa-apa yang diberikan. Ini menimbulkan rasa kecewa dan seolah-olah hak kami tidak diendahkan,” kata Ipa lagi.
Dalam masa yang sama, satu perjanjian berkaitan sempadan kawasan telah dibuat antara pihak syarikat dengan beberapa pemimpin lain tanpa rundingan telus bersama penduduk Sawa Ali.
Perjanjian tersebut bukan sahaja bercanggah dengan hasil mesyuarat terdahulu, malah turut mendakwa komuniti Sawa Ali sebagai penduduk sementara.
“Sama ada komuniti Sawa Ali mempunyai ketua kampung yang dilantik oleh kerajaan atau dipilih secara adat, ia tidak menjejaskan hak kami untuk bergantung kepada Blok 24 sebagai sumber nafkah harian.
“Kami bukan penduduk sementara. Kami telah lama tinggal dan bergantung kepada kawasan ini. Kenyataan sebegini amat tidak adil dan menafikan hak kami,” jelasnya lagi.
Penduduk turut bimbang operasi tersebut akan diperluaskan ke Blok 25 dan 26 memandangkan janji sebelum ini gagal ditepati.
Sehubungan itu, penduduk Sawa Ali menuntut agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera dengan menghentikan semua aktiviti pembalakan di Blok 24, memastikan kawalan rapi di Blok 25 dan 26, menjalankan siasatan menyeluruh terhadap tindakan syarikat serta mengiktiraf dan melindungi sepenuhnya hak komuniti Sawa Ali ke atas kawasan tersebut.
“Kami hanya mahu hak kami dihormati dan hutan kami dilindungi. Tindakan segera perlu diambil sebelum keadaan menjadi lebih buruk,” tegasnya lagi.
- kenyataan akhbar oleh Keruan dan Bruno Manser Fonds