18.05.2026

Komuniti Orang Asal tolak pembalakan, dedah percanggahan visi ‘Beyond Timber’ Sarawak

BARAM - Komuniti Penan dan Kenyah di Selungo serta kawasan sekitarnya di Ulu Baram menegaskan pendirian mereka menolak sebarang aktiviti pembalakan di tanah adat dan wilayah nenek moyang mereka.

Dalam surat yang dihantar kepada Premier Sarawak, Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Borneoland Timber Resources Sdn. Bhd. (Borneoland), tujuh komuniti iaitu Long Moh, Long Semiyang, Lio Mato, Long Siut/Long Tungan, Long Sepigen, Long Kerong dan Long Sait menolak sebarang aktiviti yang dijalankan di kawasan Hak Adat Bumiputera (NCR) tanpa persetujuan mereka.

Komuniti terbabit memaklumkan bahawa mereka masih belum menerima sebarang maklum balas terhadap surat rasmi yang dihantar pada penghujung Mac lalu berhubung bantahan dan kebimbangan mereka terhadap operasi pembalakan di kawasan tersebut.

Aktiviti pembalakan oleh Borneoland di Ulu Baram dilaporkan bermula sejak penghujung 2023 dan masih diteruskan walaupun berdepan tindakan undang-undang, bantahan komuniti, isu hak asasi manusia serta kebimbangan terhadap kemusnahan alam sekitar.

Walaupun semua konsesi pembalakan di Sarawak diwajibkan memiliki pensijilan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia, komuniti mendakwa Borneoland masih beroperasi tanpa pensijilan berkenaan.

Komuniti turut mendakwa beberapa tinjauan telah dijalankan tanpa Persetujuan Bebas, Didahulukan dan Dimaklumkan (FPIC), sekali gus menimbulkan ketidakpercayaan yang semakin mendalam terhadap syarikat dan pihak berkuasa berkaitan.

Mereka turut menegaskan bahawa tiada sebarang persetujuan diberikan terhadap aktiviti tersebut dan menolak sebarang rundingan bersama Borneoland serta JHS di wilayah mereka.

Surat bantahan yang ditandatangani wakil komuniti itu juga membangkitkan kebimbangan mengenai amalan yang didakwa memecah-belahkan masyarakat, termasuk dakwaan rundingan hanya diadakan bersama pemimpin tertentu atau individu yang dilantik dari luar tanpa persetujuan majoriti penduduk.

Pengarah organisasi pribumi Keruan, Komeok Joe berkata pendekatan sedemikian ditolak masyarakat Penan dan Kenyah kerana wakil sah komuniti seharusnya dipilih dan diiktiraf sendiri oleh masyarakat.

“Orang Penan dan Kenyah menolak pendekatan ini. Wakil yang sah mesti datang daripada pemimpin komuniti yang diiktiraf dan dipilih secara kolektif, bukannya pemimpin yang dilantik kerajaan dan gagal mewakili komuniti,” katanya.

Ini jelas apabila kebanyakkan situasi di Ulu Baram memperlihatkan percanggahan ketara antara tekanan pembalakan yang masih berlaku di lapangan dengan visi “Beyond Timber” yang diketengahkan kerajaan Sarawak.

Walaupun Sarawak mempromosikan hutan sebagai aset penting bagi penyimpanan karbon, pemuliharaan biodiversiti, perkhidmatan ekosistem dan sumber kehidupan lestari, komuniti Orang Asal di Hulu Baram mendakwa mereka masih berdepan pencerobohan, tinjauan tidak telus serta ancaman kemerosotan hutan yang berterusan.

Peguam hak masyarakat pribumi, Roland Engan berkata kerajaan Sarawak tidak seharusnya lagi membenarkan aktiviti pembalakan tanpa persetujuan bebas, didahulukan dan dimaklumkan daripada komuniti terlibat.

“Kerajaan Sarawak tidak seharusnya lagi membenarkan aktiviti pembalakan tanpa persetujuan bebas, terdahulu dan termaklum. Hutan harus kekal di tangan pemelihara sebenar mereka.

“Tidak seharusnya ada lagi pembalakan, tanpa mengira sama ada ia dilabelkan sebagai pembalakan lestari atau pembalakan impak rendah,” katanya.

Beliau turut menyeru pelaksanaan segera dasar sifar pembalakan dan menegaskan komuniti luar bandar tidak seharusnya terus bergantung kepada syarikat pembalakan untuk akses jalan ketika kerajaan merancang menaik taraf jalan pembalakan sedia ada.

Sementara itu, Pengarah Urusan SAVE Rivers, Celine Lim berkata amalan sedemikian menjejaskan nilai alam sekitar dan ekonomi yang sering dipertahankan kerajaan.

“Amalan sedemikian menjejaskan nilai alam sekitar dan ekonomi yang kononnya dipertahankan kerajaan, selain berisiko menghakis biodiversiti serta pengurusan adat Orang Asal yang penting bagi menjayakan agenda pembangunan hijau yang benar-benar kredibel,” katanya.

Melalui kenyataan bersama itu, komuniti Long Moh, Long Semiyang, Lio Mato, Long Siut/Long Tungan, Long Sepigen, Long Kerong dan Long Sait sekali lagi menegaskan penolakan mereka terhadap sebarang aktiviti pembalakan oleh Borneoland di kawasan mereka.

Mereka turut menyeru semua pihak menghormati keputusan komuniti, mempertahankan hak Orang Asal serta menghentikan segera sebarang tindakan yang dianggap mencabuli autonomi dan hak tanah adat mereka.

- kenyataan akhbar oleh Keruan, SAVE Rivers, The Borneo Project dan Bruno Manser Fonds